Ahad, 19 Jun 2011

Karangan Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011 SMKSB

Usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk Membantu Meningkatkan Taraf Hidup Orang Kurang Upaya (OKU)

Dalam kerancakan masyarakat sarwajagat bergerak seiring bayang-bayang pemodenan, kebajikan golongan kelainan upaya semakin mendapat perhatian orang ramai. Walaupun golongan kelainan upaya mempunyai kecacatan minda, anggota badan, deria, dan sebagainya, namun, golongan ini mempunyai hak yang sama rata dengan manusia biasa dan dengan bantuan orang ramai. Kemampuan mereka membuktikan bahawa mereka mampu ”duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” seperti insan normal yang lain . Persoalannya,apakah prakarsa dan tindakan proaktif yang dapat diambil oleh segenap individu untuk membantu golongan ini? (80 patah kata)

Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) seharusnya diberi peluang dalam bidang kerjaya. Bengkel,kursus dan latihan kemahiran serta pertukangan patut diberikan oleh kerajaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya golongan kelainan upaya dapat menyara hidup sendiri. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan yang lain berperanan dalam memastikan golongan ini mendapat hak pekerjaan yang sama rata dengan orang lain. Sebenarnya,golongan ini mempunyai kemahiran yang dapat digilap menjadi permata yang amat berharga dan berpotensi maju di persada antarabangsa. (77 patah kata)

Selain itu, untuk menjaga kebajikan insan istemewa ini pihak kerajaan yang prihatin wajar menyediakan kemudahan khas di tempat awam. Kontraktor-kontraktor perlu mempertimbangkan keperluan Orang Kelainan Upaya (OKU) semasa membina perhentian bas, kompleks membeli-belah, bangunan pejabat dan sebagainya. Kemudahan seperti tandas khas, tempat meletak kereta khas dan tempat duduk khas perlu disediakan untuk memudahkan golongan masyarakat ini. Misalnya, di Brickfields, Kuala Lumpur, laluan pejalan kaki khas telah dibina untuk memudahkan pergerakan orang buta. Oleh itu, secara tegasnya, kemudahan khas perlu disediakan untuk memelihara hak golongan kelainan upaya supaya mereka tidak dipinggirkan dan didiskriminasikan. (92 patah kata)


Seterusnya, kemudahan dalan pendidikan amat diperlukan untuk meningkatkan kualiti kehidupan Orang Kurang Upaya (OKU). Hal ini demikian kerana dengan dilengkapi dengan ilmu pengetahuan ilmu, golongan ini dapat menempuh kehidupan yang berliku-liku dan serba mencabar ini. Penubuhan sekolah pendidikan khas di seluruh pelosok negara telah membuka peluang yang seluas-luasnya untuk ibu bapa menghantar anak-anak istimewa mereka ke sekolah. Dengan kurikulum khas, pelajar-pelajar istimewa ini akan dapat berkomunikasi dengan orang lain melalui bahasa isyarat. Perkara ini secara langsung akan melahirkan masyarakat kurang berupaya yang berilmu, berketerampilan dan berjaya. (86 patah kata)

Di samping itu, taraf hidup golongan istimewa ini dapat ditingkatkan dengan bantuan kewangan. Bantuan kewangan ini amat diperlukan oleh sebahagian daripada mereka untuk mendapatkan keperluan asas untuk keluarga, menyara perbelanjaan pendidikan anak-anak dan sebagainya. Selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, orang ramai perlu bermurah hati dan ikhlas dalam memberi sumbangan kepada mereka. Hal ini demikian kerana tuhan telah menganugerahkan kita dengan kecergasan anggota serta kesihatan minda dan kita bertanggungjawab membantu individu-individu yang memerlukan bantuan kita. (75 patah kata)

Kesimpulannya, terdapat pelbagai tindakan yang dapat kita usahakan untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) tanpa mengira agama, bangsa dan budaya kerana ke bukit sama didaki,ke lurah sama dituruni.. Usaha kerajaan Malaysia untuk untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara atas angin tidak akan berjaya tanpa kerjasama menyeluruh daripada semua pihak, termasuklah golongan kelainan upaya. Justeru, bersama-samalah kita menghulurkan bantuan kepada individu-individu yang kurang bernasib baik agar nusa tercinta kita akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang. (77 patah kata)

(503 patah kata )

Tiada ulasan: